Monday, February 11, 2013

Jangan Jadi Syaitan Bisu




PERISTIWA Memali yang tercetus pada 19 November 1985 suatu ketika menjadi modal politik terbesar untuk Pas. Di mana-mana sahaja mereka mengeksplotasi kejadian itu dengan harapan untuk meraih sokongan politik.
Malahan Pas juga menjelajah ke seluruh negara bagi meraih simpati orang ramai untuk mengutip derma bagi membantu ahli keluarga penduduk yang terbunuh dalam peristiwa tersebut melalui apa yang dipanggil Tabung Memali.
Persoalannya, apa sudah berlaku dengan tabung itu dan benarkah ia disalurkan kepada golongan yang memerlukan? Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan jurufoto, SAIFUL BAHARI ASHARI, insan yang turut bertanggungjawab menguruskan tabung itu, ZAINON ISMAIL atau C.N AL-AFGHANI mendedahkan kedudukan sebenar.
UTUSAN: Ramai khususnya generasi muda masih kabur dengan Tabung Memali, boleh saudara huraikan secara ringkas?
ZAINON: Tabung Memali ditubuhkan pada 1986 oleh Pas Pusat bertujuan membantu kebajikan mangsa Memali. Tabung ini kemudian dipecahkan kepada tiga kategori iaitu untuk balu, anak-anak yatim dan mangsa Memali. Pihak yang mengumpul sumbangan pula adalah Harakah, Pejabat Pas Pusat serta Madrasah Islahiah Diniah Memali dan cuma tiga individu sahaja yang menguruskan tabung ini di mana saya salah seorang daripada mereka.

Apa yang tersirat ketika saudara menghasil buku Mohd. Sabu: Air Mata di Bumi Memali?
Harapan saya menerusi buku ini ia dapat memberi laporan terbuka kepada pucuk pimpinan Pas supaya mereka melihat Tabung Memali ini sebagai isu yang cukup penting.
Ia melibatkan hak-hak anak yatim dalam tragedi Memali. Dalam al-Quran terdapat 24 ayat yang ada kaitan dengan anak yatim yang memberi peringatan dan amaran cukup keras agar jangan kita menganiaya anak yatim.Surah An-Nisa ayat 2, cukup keras peringatan Allah. Begitu juga dengan surah Al-Isra ayat 34. Jadi bagaimana pemimpin Pas yang bertaraf ulama boleh mengambil sikap berdiam diri dalam isu ini kerana wujud penyelewengan yang nyata dalam Tabung Memali.Sebab itu, secara hikmah dan bertolak ansur saya keluarkan buku ini. Kalau betul buku ini secara faktanya maka pucuk pimpinan Pas perlu ambil tindakan sebagaimana yang disyorkan Islam iaitu bila didedahkan kesilapan ahli mereka, perlu ditubuhkan jawatankuasa.

Bagaimana penyelewengan ke atas Tabung Memali ini boleh berlaku?
Selain sumbangan ahli Pas, kutipan derma dibuat menerusi ceramah khususnya pada sambutan Hari Syuhada Memali. Setiap kali sambutan tersebut dibuat, tidak kurang RM80,000 derma berjaya dikutip.
Bayangkan dalam tempoh 10 tahun, berapa jumlahnya? Hampir RM1 juta untuk program itu sahaja. Saya sendiri pernah mengikuti ceramah Tabung Memali di Yan, Kedah yang disampaikan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.Pada malam itu sahaja, kutipan derma yang diumumkan ialah lebih RM100,000 tidak termasuk duit syiling. Itu satu malam dan sepanjang kewujudan Tabung Memali tidak kurang 100 ceramah sebegitu dibuat.Itu belum masuk derma dalam bentuk kiriman wang bernilai antara RM10 dan RM100 serta barang kemas yang banyak disumbang muslimat Pas. Tapi yang menjadi masalah ialah Tabung Memali ini tiada audit.Saya difahamkan, ketika Tabung Memali ditutup ekoran tindakan saya mendedah mengenai penyelewengan masih terdapat baki RM60,000 yang sehingga kini tidak diberi kepada balu dan anak-anak yatim. Ke mana wang itu hilang juga tidak diketahui.
Kemudian apabila mahkamah memutuskan kerajaan perlu membayar RM300,000 kepada 14 balu Memali, Pas Kedah dengan wakil peguam bersetuju mengagihkan RM20,000 kepada setiap balu. Tapi Pas Kedah kemudian mengarahkan balu menderma RM3,000 seorang atas alasan bagi membiayai kos guaman.Pada saya ini penyelewengan yang nyata kerana semua kos guaman tersebut sebenarnya telah dibayar lebih awal. Ini satu penipuan terhadap para balu-balu tersebut tetapi mereka hanya mampu berdiam diri walaupun sedar ditipu kerana taat kepada pemimpin.

Kenapa baru sekarang saudara bangkit semula dan dedahkan kembali isu ini?
Ini harta anak-anak yatim dan terdapat pemimpin Pas yang kini menikmati nikmat dunia yang bersifat sementara ini atas hasil harta anak yatim Memali. Saya percaya pucuk pimpinan Pas tahu perkara ini.
Saya melihat ini bukan cara Islam dan saya tidak akan berdiam diri. Saya akan berjuang menuntut hak balu dan anak-anak yatim yang masih ada dalam pegangan Pas ini dikembalikan kepada mereka sehingga akhir nyawa kerana jika tidak ia akan menjadi barah yang akan membunuh Pas.
Malah seorang ulama dalam Pas sendiri pernah berkata kepada saya: “Kalau betul macam yang didakwa, kamu akan lihat satu kemusnahan besar akan berlaku dalam Pas sekiranya satu sen wang anak yatim disalahgunakan."Jika melihat kepada Pas sekarang, saya fikir kemusnahan itu sedang berlaku. Lihat apa jadi pada Pas hari ini? Dalam isu kalimah Allah pun mereka berbeza pendapat sesama sendiri sedangkan ini soal akidah. Saya lihat orang Melayu hari ini semakin menjauhi Pas.Meskipun saya telah membuat laporan polis pada 2002 berhubung isu penyelewengan ini, saya fikir saya perlu ke hadapan sekarang kerana pucuk pimpinan Pas tidak berminat untuk menyelesaikan isu ini. Mereka kalau boleh tidak mahu isu ini ditimbulkan lagi.

Sepanjang memperjuangkan isu Tabung Memali ini, bagaimana soal keselamatan saudara sendiri?
Memang saya menerima bermacam-macam ancaman. Saya dituduh sebagai pengkhianat kepada parti, agama Islam, dan ulama. Saya pula menetap di Kampung Memali yang dikenali kubu kuat penyokong Pas yang pernah tercatat tragedi berdarah.Saya tanggung risiko yang cukup tinggi yang melibatkan nyawa. Tapi untuk berundur tidak sesekali malah saya buat satu lagi laporan polis mengenai penyelewengan Tabung Memali pada 6 Februari lalu selepas dicabar Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar.

Jika mengkaji rentetan kisah penyelewengan ini, apakah benar Pas hanya memperalatkan tragedi Memali untuk kepentingan parti?
Inilah persoalan yang bermain di benak fikiran banyak pihak khususnya bagi orang di luar Pas. Terdapat ramai sebenarnya pemimpin Pas yang bersimpati dengan nasib balu, anak yatim dan mangsa Memali tetapi mereka memilih berdiam diri.Tapi saya tidak mahu menjadi syaitan bisu. Saya tahu dan insaf terdapat penyelewengan dalam Tabung Memali sebab itu saya tampil mendedahkan perkara ini tetapi soal memperalat tragedi Memali saya tidak mahu menuduh tapi pucuk pimpinan Pas harus jawab perkara ini.

Saudara mendakwa orang yang terlibat dalam penyelewengan ini kini memegang jawatan penting dalam Pas, apa nasihat saudara kepada mereka?
Sebenarnya saya lihat pemimpin, ulama dan ustaz-ustaz dalam Pas ini mereka tahu, bukan tak tahu. Mereka beri kuliah kepada ahli-ahli. Masalahnya mereka beri kuliah itu untuk orang lain amal bukan untuk diamal diri sendiri...Pemimpin tersebut tahu semua ini berdosa tapi persoalannya dia tidak mahu amalkan ilmu yang ada pada dirinya. Mereka hanya nak ahli sahaja amalkan sebab itu jangan kita pelik dan hadis pun kata ramai golongan ulama jadi ahli neraka.Sebab di dunia ini mereka disanjung. Mereka tahu mengapa ramai golongan yang nampak ulama ini jadi ahli neraka kerana antaranya tidak amanah. Dia suruh orang lain buat baik tapi sendiri tak ikut. Kenapa orang sebegini tidak takut dengan amaran Allah dan ini yang kita cukup bimbang.Abdul Hadi pula sebagai pemimpin, beliau kena bertanggungjawab. Apa pun yang berlaku, sebagai Presiden dia kena bertanggungjawab dan dan tidak boleh lepas tangan dalam isu penyelewengan Tabung Memali ini dan sikap bertanggungjawab itu ciri-ciri seorang khalifah.Kalau zaman para sahabat nabi dahulu Saidina Umar al-Khattab sanggup pikul gandum sendiri untuk dihantar kepada rakyat yang miskin kenapa sekarang kita tak sanggup buat? Ini saya dah bagi semua fakta. Abdul Hadi tak perlu cari. Beliau hanya perlu tubuh jawatankuasa dan siasat.

Seringkali Pas mengambil pendekatan cuci tangan. Dalam hal ini apa desakan saudara kepada Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama kerana ini soal harta anak yatim?
Sebab itu saya menyeru Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama Pas jangan jadi ‘syaitan bisu’. Saya cabar mereka buat satu keputusan yang jelas dalam isu Tabung Memali khasnya harta anak yatim yang masih ada dalam Pas itu.Mereka mesti keluarkan satu hukum. Kalau Dewan Ulama dan Majlis Syura Ulama boleh buat ketetapan dalam hal-hal yang lain kenapa apabila melibatkan hak-hak anak yatim yang jelas ada dalam al-Quran mereka tidak mengambil sebarang tindakan sehingga kini.Majlis Syura Ulama itu sendiri perlu bersidang dan buat keputusan. Kalau betul ada harta anak yatim dalam simpanan Pas, serah balik kepada mereka. Saya cabar mereka bertanggungjawab.Sebagai seorang ulama semua ayat al-Quran mengenai harta anak yatim ini ada dalam dada Ahli Majlis Syura Ulama tetapi kenapa masih tidak gerun dengan amaran Allah. Bila kena pada batang tubuh Pas, mereka berdiam diri dan politik diutamakan.Kalau beginilah sikap mereka, maka Majlis Syura Ulama akan menghadapi satu fenomena di mana umat Islam tidak akan menghormati Majlis Syura Ulama lagi sebab itu kita lihat sekarang pemimpin PKR hanya pandang sebelah mata dalam ketetapan mengenai kalimah Allah.


Artikel Penuh: http://utusan.com.my/utusan/Rencana/20130211/re_01/Jangan-jadi-syaitan-bisu#ixzz2KcGAiURt
© Utusan Melayu (M) Bhd