Thursday, November 8, 2012

Nik Aziz perlu berani tegur Anwar, Karpal


RANTAU PANJANG 8 Nov. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat perlu berani dan berterus terang dengan menegur pemimpin pembangkang termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh sekiranya mereka mengeluarkan kenyatan bercanggah mengenai agama Islam dan akidah serta prinsip perjuangan Pas sendiri.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun hendak menang pilihan raya, Nik Abdul Aziz tidak boleh mengorbankan soal agama, akidah dan prinsip asas perjuangan Pas semata-mata hendak kerusi dan kuasa politik serta menjaga hati rakan pakatannya itu.
"Pas sebut dia nak perjuangkan Islam tetapi Anwar Ibrahim kerap buat kenyataan (bertentangan) tapi yang anehnya Nik Aziz kata itu tak apalah, itu pandangan dia (Anwar) sendiri.
"Kalau dia betul-betul Mursyidul Am, seorang tokoh ulama yang dikatakan dihormati, dia mesti bersikap berani dan berterus terang walaupun itu sahabat dan pakatan dia, dia tak boleh hanya untuk kepentingan politik ketepikan soal itu kerana nak menjaga sokongan rakyat, itu bukan merupakan seorang pemimpin yang baik.
"Kalau perkara kurang baik disebutkan oleh Anwar Ibrahim atau Guan Eng (Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng) atau (Pengerusi DAP) Karpal Singh, banyak perkara yang mereka utarakan yang saya sendiri tahu bercanggah dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas tapi dibiarkan.
"Yang terbaru kenyatan Nurul Izzah (Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat), saya tak dengar (teguran Nik Aziz), jadi mana yang tak betul kena tunjukkan tak betul, agama kita ada banyak panduan, sebagai seorang yang faham tentang soal itu dia kena beranilah, dia tak boleh biarkan begitu sahaja," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Kolej Kemahiran Tinggi Mara di sini hari ini.

- UTUSAN


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20121108/po_05/Nik-Aziz-perlu-berani-tegur-Anwar-Karpal---Muhyiddin#ixzz2BemkO8Dq
© Utusan Melayu (M) Bhd