6:34 AM
MUTAKHIR
NGO minta SPRM siasat bas mewah PKR
PUTRAJAYA: Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan hari ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini berhubung pembelian dan pemilikan bas mewah dua tingkat untuk kempen Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pengerusi GAPS, Hamidzun Khairuddin, berharap SPRM menyiasat perkara itu secepat mungkin atau dalam masa sebulan dari sekarang kerana disyaki wujud unsur penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pembelian, pemilikan dan penyewaan bas itu yang dianggarkan bernilai RM900,000. Hamidzun mendakwa bas bernombor pendaftaran BLU 8719, didaftarkan pada 3 September lalu untuk kegunaan persendirian dengan nama pemilik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Ia berjenama Dong Feng iaitu syarikat yang sama membekalkan 50 lori kompaktor sampah kepada Selangor.
Sehubungan itu, katanya, Abdul Khalid perlu bersedia menjawab beberapa persoalan.
"Antaranya bank yang sanggup memberikan pinjaman itu, sedangkan beliau masih menghadapi saman Bank Islam Malaysia Berhad kerana gagal menjelaskan pinjaman RM60 juta," kata Hamidzun, bekas setiausaha UMNO Bahagian Kapar, kepada pemberita sebelum membuat laporan itu.
- BERNAMA