Sunday, October 14, 2012

PAS hanya penting KUASA

Pas hanya pentingkan kuasa

SAYA tidak lagi dapat meletakkan perjuangan saya melalui wadah Pas pada ketika ini. Perkembangan Pas mutakhir menjadikan saya menolak gagasan parti tersebut, walaupun PRU-12 memberi jumlah kerusi yang lebih kepada mereka, lantas memberi semangat baru dan menaruh impian tinggi pada PRU-13 nanti.

Saya dapat rasakan semakin ramai memilih untuk tidak memberi sokongan dan bersimpati dengan parti tersebut atas beberapa perkara utama.

* Pertama, tertib serta kemurnian sebuah perjuangan Islam tidak berlaku dalam Pas. Ia hanya sebuah parti politik biasa yang inginkan kuasa. Banyak amalan Islam yang boleh dilaksanakan tidak menjadi gerak kerja dan agenda, konon untuk dapat kuasa dulu.

Parti hanya mempamerkan sengketa dan memilih konfrantasi dengan lawan walaupun sesama Islam yang masih bersyahadah dan mengerjakan amalan Islam yang utama. Niat sebuah perjuangan suci seperti tidak dimanifestasikan dalam bentuk cara untuk mencapai cita-cita perjuangan Islam. Pas menjadikan perjuangan yang terikut-ikut semata-mata.

* Kedua, peribadi sebahagian pemimpinnya tidak mewakili akhlak Islam yang sejati, sebaliknya bebas mengherdik secara keterlaluan, sehingga bukan lagi sebagai ungkapan berdakwah, tetapi cercaan dan kata mengata. Lidah rasmi Harakah jauh daripada bertindak sebagai saluran mendidik dan menyampaikan tarbiyah kepada rakyat tetapi hanya mengenengahkan isu dalam usaha menjatuhkan lawan.

* Ketiga, kesal dengan usaha PAS meresapi pemikiran generasi muda dan pelajar seolah-olah nilai seorang mukmin hanya melalui perjuangan dan sokongan menjatuhkan kerajaan. Sepatutnya Islam perlu difahami sebagai ajaran yang mendamaikan, menasihati dan membimbing.

* Keempat, perkembangan pengamalan umat Islam ke atas perintah Allah seperti menutup aurat, kepekaan ke atas makanan halal, menitik berat pendidikan secara Islam, mencari corak hiburan yang lebih Islamik serta lain-lain yang mengubah peribadi mereka kepada yang lebih mulia telah dicetuskan hasil pendekatan dakwah. Wadah dakwah yang lebih hikmah dan pelbagai bentuknya telah mengubah umat Islam beramal dan menerima ajaran Islam.

Di sebalik senario tersebut, Pas yang wujud sejak tahun 50-an hanya hebat dalam berpidato dan mahir berkata-kata di atas pentas politik. Melalui Pas, rakyat hanya mendengar Islam tetapi susah melihat realiti amalan Islam dalam bentuk praktis. Peranan datang daripada mubaligh dan daie yang lebih berhemah dan berhikmah dalam mengubah masyarakat ke arah pengamalan Islam di setiap sudut.

Perubahan telah masuk dan meresap ke rumah, pejabat, sekolah, universiti, pentadbiran kerajaan dan lain-lain. Dakwah telah melancarkan amalan Islam dengan berkesan dan tertib. Pejuang Pas hanya sibuk menjelaskan isu politik, mengabaikan pengajaran ilmu dan tarbiah secara objektif.

Tiba masanya umat Islam membetulkan arah tuju perjuangan. Kekuatan sebenar terdapat kepada umat Melayu Islam yang boleh bersaing serta membentuk kekuatan sendiri, tetapi telah menjadi lemah kerana terlalu bersengketa dan berbeza pendapat.

Persoalan siapa yang paling benar, perlu diganti dengan ungkapan bagaimana harus kita bersatu dan mengelak sengketa. Pengorbanan perlu dijayakan bersama untuk mendekatkan umat yang sedang berpecah dan lemah ini. Kembalilah kepada jalan lebih mendamaikan untuk menguatkan perpaduan supaya rakyat dapat menikmati kelebihan daripada perpaduan tersebut. Semuanya perlu dijayakan atas rasa keimanan dan ketaqwaan.

HASANUDDIN AB. RAHMAN



Tampoi, Johor Bahru