Friday, December 14, 2012

‘Memakmurkan Negeri dan Mensejahterakan Rakyat : Janji Ditepati.’


Kerajaan Negeri sentiasa komited dalam memastikan ekonomi Negeri Sembilan terus berkembang meskipun dalam persekitaran global yang tidak menentu. Pada tahun 2011, Ekonomi Negeri Sembilan mengalami pertumbuhan yang memberangsangkan walaupun mengharungi pelbagai cabaran khususnya kesan kelembapan ekonomi global. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Sembilan terus mencatatkan peningkatan pada kadar yang lebih tinggi pada tahun 2011 kepada 22.047 bilion ringgit iaitu pertumbuhan sebanyak 5.9% berbanding 5.3% pada tahun 2010.
Sektor pembuatan dan perkhidmatan terus menjadi penyumbang utama kepada KDNK Negeri Sembilan. Dalam tahun 2011, sumbangan sektor pembuatan dan perkhidmatan masing-masing adalah sebanyak 46.0% atau 10.148 bilion ringgit dan 44.6% atau 9.834 bilion ringgit. Berhubung dengan kemasukan pelabur ke Negeri Sembilan pula, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan telah meningkat dengan ketara kepada sebanyak 5.9 bilion ringgit pada tahun 2011. Selain dari itu, Kerajaan Negeri juga menerima pelaburan berjumlah 1.23 bilion ringgit dari lain-lain sektor seperti pelancongan, perkhidmatan dan pembinaan. Ini menunjukkan bahawa usaha kerajaan untuk menjadikan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelaburan yang menarik kepada pelabur asing dengan menyediakan kawasan perindustrian yang strategik, di samping mengamalkan dasar mesra pelabur telah membuahkan hasil.
Sektor pertanian pula merupakan penyumbang ketiga terbesar kepada ekonomi Negeri Sembilan iaitu sebanyak 6.5% atau 1.426 bilion ringgit. Walaupun sumbanganya kepada KDNK Negeri agak kecil berbanding sektor pembuatan dan perkhidmatan, namun sektor ini kekal penting dan terus menjadi tumpuan utama Kerajaan Negeri kerana ianya melibatkan kepentingan pembangunan rakyat di luar bandar di samping mencapai matlamat tahap sara diri.

@ Sebahagian tesk ucapan YAB DSU MBN9 Pembentangan Rang Undang Undang Perbekalan 2013 " Memakmurkan Negeri, Dan Mensejahterakan Rakyat...Janji Ditepati" Seterusnya